Popular Posts

Monday, December 24, 2012

Cantiknya Seorang Wanita



Cantiknya Seorang Wanita
Wanita dan kecantikan sangat sinonim. Dua-dua ini tidak akan terpisah dan tidak boleh dipisahkan. Kecantikan adalah aset dan lambang kewanitaan.
Wanita yang berasa dirinya tidak cantik akan berasa sedih dan merendah diri. Mereka mudah malu dan hilang keyakinan berhadapan dengan orang ramai. Mereka seakan berasa persepsi orang terhadap mereka buruk-buruk belaka.
Berbeza dengan wanita yang cantik. Langkah mereka penuh dengan gaya dan bertenaga. Senyuman mereka tidak putus-putus menghiasi waja. Sungguh berkeyakinan. Mereka sentiasa yakin bahawa orang ramai suka melihat diri mereka.
Pada sisi saya, sebagai seorang lelaki. Berbohong jika saya cakap tidak tertarik dan suka kepada wanita yang cantik. Kerana itu memang lumrah seorang lelaki. Dan itu juga satu sebab kenapa wanita sering menonjolkan kecantikannya.
Tapi ingat satu perkara...
"Wanita yang tidak cantik luar tetapi cantik dalam masih lagi dapat dilihat kecantikannya. Berbanding wanita yang cantik luar tapi buruk dalam, mereka hodoh sebenarnya!"

Kecantikan dan Wanita
Kecantikan itu aset dan keagungan wanita. Ketahuilah bahawa kecantikan seorang wanita bukan terletak pada wajahnya tetapi kelembutan jiwanya!
Saya tertarik satu rangkap daripada lirik lagu
"Sedarilah insan istimewa,
Bahawa kelembutan bukan kelemahan,
Bukan jua penghinaan dari Tuhan,
Bahkan sebagai hiasan kecantikan"
Apabila kecantikan pun perlukan perhiasan, maka kecantikan itu belumlah sempurna. Maka kita tahu kecantikan itu tidaklah cantik tanpa kelembutan jiwa dan tingkah lakunya. Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan kita, bahawa paras rupa juga bukanlah suatu nilaian yang hakiki. Fizikal bukanlah fokus pandangan Ilahi tetapi ianya terletak di dasar hati seorang hamba.
Daripada  Abu Hurairah Abd ar-Rahman bin Sakhr RA katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi dia melihat jantung hati (niat) kamu."
(Hadis Riwayat Muslim)

Fikirkan
Cantikkah seorang gadis remaja yang sering melepak dan berpeleseran di luar sana?
Cantikkah seorang isteri yang sering derhaka dan melawan cakap suami?
Cantikkah seorang ibu yang sering menengking dan mendera anaknya?
Cantikkah seorang wanita yang gemar mengeluarkan kata-kata keji dan kesat?
Cantikkah wanita yang berpakaian dan berperangai seperti lelaki?
Tidak walaupun sesekali.
Wanita yang hilang sifat kelembutan jiwanya akan menenggelamkan kecantikan luarannya.
Bahkan seorang wanita yang lembut jiwa, malu apabila dirinya kelihatan cantik kerana lembut jiwa ia hanya menumpu kasih pada bakal sang suami. Bukan lelaki ajnabi. Mereka tidak rela 'cantik' mereka dinodai oleh mata-mata asing. Hatta lelaki yang bersifat 'kaki perempuan' juga lebih memilih seorang wanita yang bijak dalam tindakannya, indah tutur bicaranya dan mulia perilakunya. 
Jangan cemburu apabila diri mu tidak cantik duhai wanita kerana cantikmu bukan di situ. Tetapi di dalam hati. Lelaki yang baik akan menilai hatimu yang cantik bukan rupamu. 
"Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu meluluh,
Pandangan hati itu yang hakiki,
Jika hati itu bersih..."
Hiraukan kata-kata cemuhan dan sindiran. Kerana mereka buta mata hati. Percayalah hanya jodohmu akan bijak menilai dirimu. Justeru, tidak perlu bersusah payah bersolek sebelum nikah, tetapi bersusah payahlah untuk membina 'cantik' serinya yang bermula dari hati.
Sesungguhnya hati yang bersih akan mencerminkan keindahan peribadi, dengan cerminan itulah dirimu lebih cantik daripada wanita yang hanya cantik dipandang semata-mata namun 'kurang cantik' dalam menghiasi diri dengan kemuliaan akhlak.
Senyumlah, dan jadilah wanita yang cantik pada pandangan Allah.

Solat


Jawatan Kosong


Saturday, March 3, 2012

UJUB

Rasulullah saw. bersabda, "Sanggupkah kalian mengerjakan seribu kebajikan setiap hari ?" Maka bertanya salah seorang, "Bagaimana caranya kami mengerjakan seribu kebajikan setiap hari itu ?" Baginda menjawab, "Bacalah tasbih (menyebut Subhanallah) seratus kali, nescaya Allah Taala mencatat bagi kamu seribu kebajikan atau dihapus daripadanya seribu kesalahan." (HR. Muslim)


 

Ujub



Ujub ialah PERASAAN kagum atas diri sendiri. Merasa diri HEBAT. Bangga diri. Terpesona dengan kehebatan diri.

Perasaan ujub boleh datang pada bila-bila masa.

Orang yang rajin ibadah merasa kagum dengan ibadahnya.
Orang yang berilmu, kagum dengan ilmunya.
Orang yang cantik, kagum dengan kecantikannya.
Orang yang dermawan, kagum dengan kebaikannya.
Orang yang berdakwah, kagum dengan dakwahnya.

Sufyan at-Tsauri mengatakan ujub adalah perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat.

Muthrif rahimahullah telah berkata, “Kalau aku tidur tanpa tahajud dan bangun dalam keadaan menyesal, adalah lebih baik dari aku bertahajud tetapi berasa kagum dengan amalan tahajud tadi.”

Seorang sahabat Nabi Abu Ubaidah al-Jarrah yang menjadi imam. Setelah selesai beliau berkata, “Syaitan sentiasa menghasut aku supaya merasa aku ini lebih hebat dari orang di belakangku. Aku tidak mahu jadi imam sampai bila-bila.”

Ingatlah, semua kelebihan adalah anugerah dari Allah, oleh itu kagumlah hanya kepada Allah, bukan diri sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."(Surah An-Nisaa', sebahagian ayat 36)

Nabi saw. bersabda, "Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (perasan lawa). Lalu Allah tengelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda, "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri).”. (HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)

Imam Nawawi rahimahullah berkata,”ketahuilah bahwa keikhlasan niat terkadang dihalangi oleh penyakit ujub. Sesiapa ujub dengan amalnya sendiri maka akan terhapus amalnya". (Syarh Arba’in)

Penyakit futur boleh membunuh sahsiah diri

FUTUR adalah suatu penyakit baru yang melanda sebahagian daripada umat Islam. Dalam konteks bahasa, futur ertinyaputus selepas bersambung atau tenang selepas bergerak. Juga boleh memberi erti malas atau lambat selepas rajin dan bersungguh-sungguh.
Dalam erti kata lain, futur adalah penyakit kecewa yang boleh membunuh sahsiah Muslim. Penyakit ini berupaya merencat saraf rangsangan aktivis dalaman yang akhirnya mengganggu kesungguhan dalam kerja yang diamanahkan. Ia berpunca daripada hati.
Penyakit futur ini menukar sama-sekali perlakuan pelakunya daripada seorang rajin dan semangat bekerja kepada sikap malas, putus asa, menunda atau berlambat-lambat melakukan pekerjaan.

Ia dikaitkan dengan kegagalan mencapai matlamat yang dihajati seperti tewas dalam peperangan, kalah dalam pilihan raya, gagal mencapai cita-cita peribadi atau tidak mencapai maksud dicita-citakan.
Jangan sampai ia menular dan menjadi pembunuh semangat yang senyap dalam diri individu Muslim, yang akhirnya mengembang kepada kumpulan atau jemaah Muslim sendiri.
Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Berbuat baiklah sesuai dengan kemampuanmu. Demi Allah, Allah tidak berasa bosan sehingga kamu sendiri yang berasa bosan. Dan amalan ad-din yang paling dicintai (Allah) ialah yang dilakukan secara rutin oleh pelakunya.”
Sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada harga perjuangan, persoalan yang melanda dalam diri berpunca daripada sikap dan kualiti diri kita, ketika semangat perjuangan membakar, hendaklah segera diatasi. Jangan biarkan keinginan dan nafsu menguasai diri melepasi perjuangan sebenarnya.
Ingatlah, peristiwa kekalahan pejuang Islam dalam Perang Uhud boleh memberi iktibar kepada kita. Ketika pejuang sudah mendekati kemenangan tatkala menentang musuh, namun berakhir dengan kekalahan di luar jangkaan, kerana sebab utamanya adalah kegagalan pejuang memelihara kualiti diri mematuhi arahan ketua.
Apabila keseimbangan itu hilang, tentu akan terjadi keadaan yang tidak stabil, sedangkan strategi awalnya amatlah baik. Namun, arahan yang sepatutnya ditaati tidak berupaya diterjemahkan dalam bentuk taat dan patuh kepada arahan ketua.
Allah mengingatkan kita melalui firman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kisah mereka itu ada pengajaran bagi orang yang mempunyai fikiran. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi ia membenarkan (kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yusuf, ayat 11)
Sepatutnya apa yang pernah menimpa kepada umat Islam dulu dijadikan pengajaran supaya kita tidak melakukan kesilapan serupa. Tujuan Allah menceritakannya dalam al-Quran ada hikmah dan pengajarannya.
Firman Allah yang bermaksud: “Maka ambil iktibar (pengajaran), wahai orang yang mempunyai penglihatan.” (Surah al-Hasyr, ayat 2)
Sesungguhnya, banyak peristiwa berlaku pada kita hari ini adalah suatu putaran dan pusingan kehidupan. Apa yang kita alami kini pernah berlaku suatu ketika dulu dalam keadaan yang mungkin sama, cuma masa saja berlainan.
Percayalah, setiap kejadian yang berlaku hari ini akan berlaku pada depan. Yang pentingnya ialah bagaimana kita menghadapi kejadian yang akan datang melalui perancangan berjadual. Perancangan seperti ini disebut juga sebagai perencanaan berstrategik.
Sejarah perjuangan Rasulullah SAW penuh dengan perancangan dan strategi. Bermula dengan penerimaan wahyu, diikuti penyebaran Islam secara tersembunyi dan akhirnya secara terang-terangan.
Begitu juga ketika berlakunya penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib, bagaimana perancangan rapi diatur Rasulullah berjaya mencapai matlamat. Ketika menjadi Ketua Negara Madinah, Baginda Rasulullah SAW membuat perancangan secara teliti dengan mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin untuk memperkuatkan kaum Muhajirin.
Diikuti perjanjian dengan puak Yahudi demi mewujudkan sebuah negara bangsa yang kuat dan utuh di Madinah sehingga akhirnya berjaya menakluki semula Makkah. Pengurusan berstrategik memerlukan kita untuk membuat perencanaan bagi menentukan matlamat, menggariskan kaedah dan tindakan untuk mencapai matlamat itu.
Strategi diperlukan menggabungkan pelbagai instrumen kekuatan sumber dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya. Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan.
Dalam soal mengatur perancangan strategi, soal penguasaan ilmu sangat penting. Rasulullah SAW menjelaskannya dalam hadis yang bermaksud:
“Apabila kamu menghendaki hidup berjaya di dunia hendaklah kamu berilmu dan apabila kamu menghendaki hidup berjaya di akhirat hendaklah berilmu dan apabila kamu menghendaki kedua-duanya hendaklah juga kamu berilmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya, penguasaan ilmu perancangan berupaya membantu membuat perencanaan secara lebih tersusun. Gerak kerja ini perlu penelitian rapi berdasarkan kepakaran bersumberkan ilmu. Begitu juga untuk menyusun strategi. Strategi yang baik akan membuahkan hasil yang baik.
Strategi yang baik terhasil daripada pemerhatian dan kajian. Strategi yang baik juga berupaya membangunkan, mengekalkan, menangani masalah yang timbul serta cekap dalam mengatur serangan, menyerang dan menguasai musuh seperti mana dibuktikan panglima Islam terkemuka, Salahuddin Al-Ayubi.
Jika kita hanya membangun daripada segi perancangan strategi untuk memantapkan, mengukuh dan menguatkan jemaah saja sedangkan kekuatan dan strategi diatur musuh diketepikan, jawapannya kita tidak mampu menandingi pihak musuh dan tidak akan berkebolehan mengalahkan mereka.
Jangan lupa, musuh juga pasti tidak henti-henti membuat perencanaan untuk menandingi kekuatan kita. Kadangkala kita lupa bahawa strategi musuh di luar batas pemikiran.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan sediakanlah untuk mereka segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan daripada pasukan berkuda yang lengkap dan sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahui sedang Allah mengetahuinya, dan apa-apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-anfal, ayat 60)
Perencanaan yang dibuat haruslah ada tata kaedah tertentu, dilaksanakan secara berperingkat, tersusun kemas dan teratur. Perencanaan hendaklah dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa. Ini penting kerana faktor emosi dan masalah sekeliling yang menekan akan menjadi sebab kepada perencanaan yang tidak bagus.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Kajian menyatakan kejayaan dalam sesuatu tindakan bergantung kepada kesungguhan untuk melaksanakannya, disamping faktor pengurusan masa. Faktor penguasaan isu semasa dan keadaan sekeliling juga sebahagian daripada momentum yang penting.
Perancangan yang dibuat mestilah atas sifat sebagai hamba kepada Tuhannya. Penentuan kejayaan atau kegagalan itu bukan diberi kata putus oleh manusia. Oleh itu kita jangan menjadi angkuh dan sombong kerana kepakaran mengatur perencanaan dan menjadi strategi yang baik.
Ingatlah kuasa Allah yang menentukan kejayaan atau kegagalan. Jika kegagalan itu ada di pihak kita, ingatlah apa yang Allah katakan, ‘ia adalah akibat daripada gara-gara kamu sendiri’ dan setiap kejayaan daripada apa yang dirancang itu disambut dengan penuh kesyukuran. Jangan menjadi angkuh dan sombong atas kejayaan itu.
**Penulis ialah CEO Damai

Wednesday, February 22, 2012



Bismillah...

UJUB, RIAK DAN TAKABBUR DI FACEBOOK

Kita selalu dengar tentang ujub. Ujub adalah suatu penyakit hati yang bermaksud takjub dengan diri sendiri. Ujub merupakan titik tolak kepada penyakit hati yang lebih besar seperti riak (menunjuk-nunjuk) dan takabbur (membesarkan diri sendiri). Sifat-sifat ini tidak layak ada pada manusia.

Hanya Allah SWT. sahaja yang layak memiliki sifat ini kerana Allah-lah yang mencipta sekalian alam dan pemilik segala kekuatan. Maka, tidak salah bagi Allah SWT. untuk merasakan diri-Nya hebat, menunjuk-nunjuk kehebatan-Nya, dan mengagungkan diri-Nya.

Manusia yang ujub merasakan dirinya hebat. Contohnya, seseorang itu berasa ujub apabila dia berdoa lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sujud lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sedekahnya lebih banyak daripada orang lain. Mudah cerita, bisikan yang terlintas di hati berbunyi seperti "Uishh... aku sujud lebih lama daripada dia...".

Perkembangan pesat teknologi di zaman ini menjadikan penyebab penyakit hati juga turut maju selaras dengan perkembangan semasa. Penyakit hati ini akan meresap bersama-sama pesakit dan mengikuti perkembangan dunia. Berikut merupakan sedikit sebanyak contoh-contoh ujub atau riak yang telah wujud di zaman moden.

1. Blog dan "Followers"
Kebiasaannya perkara ini hanya menimpa dikalangan "blogger". Mereka berisiko untuk merasa diri hebat apabila ramai peminat ataupun "followers" yang mengikuti blog mereka. Ribuan atau ratusan "followers" menyebabkan diri terasa hebat dan dikenali ramai. Tidak salah untuk kita berasa seronok dengan ramainya "followers". Tetapi seronok atas dasar apa? Seronok kerana dapat mencurahkan ilmu kepada ribuan atau ratusan "followers" atau seronok kerana melihat JUMLAH "followers" yang banyak?

2. "Like" di Facebook
Post "status" di laman sosial facebook. Ramai pula yang tekan "like". Apabila ramai yang "like", mulalah rasa diri mendapat perhatian ramai. Setiap cetusan minda yang terpapar di laman Facebook dihargai dan rasa bangga dengan apa yang telah dihasilkan. Awas! Tidak salah untuk merasa gembira apabila orang lain suka apa yang kita lakukan, tapi janganlah sampai merasa riak dan berbangga dengan diri sendiri.

3. Komen di Facebook
Mungkin juga kita akan rasa teruja apabila ramai yang memberikan tindakbalas yang memberangsangkan pada "post" kita di Facebook. Apabila ramai sangat, mungkin bibit-bibit perasaan ujub akan mula lahir.

4. Komen Gambar di Facebook
Perkara ni mungkin berlaku pada lelaki yang kacak dan perempuan yang cun sahaja. Apabila cun atau kacak, ramailah yang komen. Tidak kurang juga yang memuji. Apabila banyak sangat terima pujian, mulalah rasa semacam dan seronok dengan pujian itu. Maka, perasaan ujub pun senang-senang boleh diterbitkan.

6. Ramainya Kawan atau Peminat di Facebook
Jumlah sekali lagi memainkan peranan penting bagi syaitan untuk menghasut manusia untuk berasa riak. Ramai bilangan rakan maya di facebook juga membolehkan perasaan ujub diterbitkan. Itu baru kawan, apatah lagi peminat artis yang mencecah jumlah ratusan ribu, malahan jutaan orang. Apabila ramai orang yang meminati artis tersebut, mungkin perasaan ujub akan muncul. Hati-hati!

7. Berdakwah di Facebook
Mungkin ramai kawan kita yang merapu di Facebook. Sebagai orang yang merasa dirinya wajib untuk berdakwah, maka Facebook dijadikan medan untuk berdakwah di tengah-tengah rakan Facebook yang banyak merapu. Maka, jadilah kita orang yang terpencil kerana tidak merapu sedangkan yang lain banyak yang merapu.

Apa yang dibimbangkan di sini, apabila kita berdakwah, kita turut akan berbangga dengan apa yang kita lakukan. Awas, wahai da'ie!

Jadi, berhati-hatilah dengan hati! Semoga kita dilindungi Allah daripada penyakit-penyakit hati ini. Ingatlah bahawa, setiap apa kebaikan yang kita lakukan semuanya adalah daripada Allah jua. Kita tiada hak untuk merasa ujub kerana tanpa izin-Nya ia tidak mungkin akan berlaku. Kembalilah apa jua pujian itu kepada Allah.

Elakkan diri daripadanya, Lindungi diri dari kemurkaan Allah.. Nampak simple, tapi ibadah jadi debu gitu je..... Na'udzubillahi Min Zalik...

Friday, February 10, 2012

Tanda-tanda Kecil Sudah Lengkap

Berfikir sejenak itu lebih baik dari solat sunat

   Pernahkah kita terfikir bahawa apa yang berlaku di dalam dunia ini adalah dengan izin ALLAH S.W.T? Apa yang kita hajati selama ini termakbul kerana izin Allah dan apa yang kita tidak ingini juga adalah dengan izin Allah yang mempunyai sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Pernahkah kita terfikir sejenak mengapa kita dilahirkan sebagai seorang hamba dan bukan sebagai seorang raja, pemimpin dan sebagainya? Semua ini telah ditentukan oleh Allah S.W.T yang maha mengetahui lagi maha bijaksana. Bayangkan sehelai daun yang gugur di atas muka bumi yang luas ini juga terjadi kerana dengan izin Allah S.W.T. Pernahkah kita bertanya apa matlamat utama diri kita sebagai seorang hamba? Kadangkala apa yang kita fikirkan ini tidak mempunyai jawapan yang saintifik dan kadangkala menjangkaui otak fikiran kita. Lebih-lebih lagi apabila kita melihat pelbagai isu yang telah dibangkitkan oleh orang bukan Islam di mana mereka lebih kepada mengkritik kepada kewujudan tuhan kita walaupun mereka percaya adanya tuhan. Mereka sanggup mengkaji setiap inci Al-Quran lebih dari orang Islam sendiri bagi membuktikan bahawa mereka  mempunyai ajaran agama yang sempurna. Sebagai seorang umat Islam, saya juga pernah terfikir mengapa Allah telah menjadikan orang bukan Islam dilimpahi dengan kemewahan harta, keindahan paras rupa dan pelbagai nikmat yang lain. Pernahkah kita terfikir bahawa Allah sebenarnya berbuat demikian kerana Dia ingin menunjukkan bahawa dunia ini adalah syurga bagi mereka dan nerakalah tempat mereka selamanya. Berbeza pula dengan orang Islam di mana kita berupaya mendapat kedua-duanya asalkan kita mengikut apa ajaranNya. Ujian demi ujian yang kita lalui sebenarnya pemanis di kala kita menyimpan pelbagai kenangan di dunia di mana Rasulullah pernah berkata bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan bagi seorang pengembara. Pelbagai nikmat yang kita perolehi sebagai seorang Muslim/Muslimah dan marilah kita bersama-sama memantapkan iman serta istikomah dalam menunaikan ibadat. Amin.. 

9 Mimpi Nabi Muhammad SAW



Daripada Abdul Rahman Bin Samurah ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda:

"Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan........"

1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah di datang oleh malaikatul maut dengan keadaan yg amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya,maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.

2. Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.

3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.

4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikut Ahzab,tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.

5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga di halang dari meminumnya,ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.

6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.

7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadan gelap gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang-benderang.

8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidak pun membalas bicaranya,maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya,lalu berbicara mereka dengannya.

9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.


BERSABDA RASULULLAH SAW: "SAMPAIKANLAH PESANANKU KEPADA UMATKU
YANG LAIN WALAUPUN DENGAN SEPOTONG AYAT"

raihan selawat nabi (arabic)

Couple?


Banyak betul soalan ni saya terima dari remaja.  Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka mengambil berat tentang hukum dan pandangan agama dalam sesuatu hal.  Tidaklah mereka sembrono berbuat sesuatu tanpa memikirkan apa pandangan agama.
Kali ni, saya nak tukar cara menulis pulak.  Nak cuba cara cerita pulak.  Saya harap inti dan maksud dapat difahami dengan mudah bagi sesiapa yang membaca, terutama remaja, insyaALLAH:
=======================================
Nabilah dan Husna baru sahaja habis kelas dan merancang untuk berjumpa Ustadz Faisal untuk bertanya sesuatu yang bersarang di kepala mereka dan rakan-rakan mereka.
“Assalamu’alaikum, ustadz” tegur Nabilah & Husna kepada Ustadz Faisal yang sedang khusyuk membaca sesuatu di dalam komputernya.
“Wa’alaikumussalam warahmatullah.  Oh, kamu Nabilah, Husna.  Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” tanya Ustadz Faisal sambil melemparkan senyuman.
“Ustadz sibuk ke?” tanya Husna.
“Eh, takdelah.  Biasa-biasa saje.  Hah, ada apa-apa yang awak nak tanya ke Husna, Nabilah?” Ustadz meneka agaknya mungkin ada soalan yang mahu ditanya oleh mereka berdua.
Nabilah dan Husna adalah pelajar yang suka bertanya.  Ustadz Faisal sudah mengagak mesti ada soalan yang hendak ditanya mereka.  Ustadz Faisal memang suka pelajar-pelajarnya datang dan bertanya.  Dengan cara begini, Ustadz Faisal tahu apa yang berlegar di dalam fikiran anak-anak muridnya dan beliau mengharapkan dengan memberikan jawapan-jawapan itu dapat membantu memberikan kefahaman tentang bagaimana sesuatu isu atau perkara itu dapat diselesaikan dengan pendekatan agama.
“Engkaulah tanya…” bisik Nabilah kepada Husna.  Husna pula membalas balik, “Eh Nabilah, engkaulah tanya…” Mereka masing-masing tolak-menolak.
“Eh kamu berdua ni.  Kalau kamu tak nak tanya, biar saya jelah yang tanya.” Gurau Ustadz Faisal sambil membulatkan matanya yang kecil itu.
Nabilah dan Husna tertawa tersipu-sipu.
“Begini ustadz…” Nabilah menolak Husna dengan bahunya.  Husna membalas kembali tolakan itu.
“Hmm…tergedik-gedik, tergedik-gedik diorang ni” bisik hati ustadz Faisal.
“Kami nak tanya pasal couple ni ustadz…” Nabilah memulakan bicara.
“Apa benda couple tu?” tanya ustadz pula sambil mengerutkan keningnya.  Sengaja buat tak tahu.  “Jenama ais krim ke?” sambung Ustadz Faisal bergurau.
“Alaa, ustadz ni…takkan itu pun tak tahu…hehe” Nabilah dan Husna tertawa.
“OK, cuba awak terangkan pada saya apa yang awak faham tentang couple?” Ustadz Faisal menanyakan mereka berdua untuk menguji.
“Yang saya faham, couple ni macam bercintalah ustadz.” Terang Husna.
“Tak boleh ke bercinta?  Habis tu saya sekarang ni cintakan isteri saya, tak boleh ke?” uji ustadz Faisal lagi.
Ustadz Faisal memang macam tu caranya.  Dia biasanya akan bertanya itu dan ini kepada pelajar-pelajarnya jika pelajar-pelajarnya bertanya tentang sesuatu perkara.  Tujuannya ialah supaya mengajak pelajar-pelajar itu sama-sama mencari jawapan dengan berfikir.  Sebab kadang-kadang, jawapan kepada persoalan yang ditanya sudah mereka tahu tanpa mereka sedari.  Cuma masih belum kemas barangkali kefahamannya.
“Bukan macam tu ustadz.  Macam kami nilah, remaja bercinta.  Belum kahwin.  Masing-masing ada pasangan masing-masing.  Boyfriendlah, girlfriendlah.  Macam tulah… Boleh tak ustadz?” Nabilah memberikan penerangan disusuli soalan.
“Begini…saya nak tanya awak balik.  Apa yang selalu diperbuat oleh pasangan-pasangan yang bercinta ini, yang awak panggil couple ini?”Sengaja Ustadz Faisal bertanya lanjut bagi membuka minda Nabilah dan Husna.
“Tentulah mereka berjumpa, berdating ustadz.” Jawab Husna dengan penuh yakin.
“Lagi?” Ustadz Faisal mengajak Nabilah dan Husna memikirkan apa yang diperbuatkan oleh pasangan yang bercinta atau bercouple ini.
“Mereka tukar-tukar hadiah, mereka keluar sama-sama, belajar sama-sama.” Terang Nabilah pula.
“Lagi?” Ustadz Faisal bertanya lagi.
“Hmm… itu jelah yang kami tahu, ustadz.” Husna menggarukan kepalanya yang tidak gatal sambil melihat ke siling untuk mencari jawapan.
“Hah, awak tengok apa tu Husna?  Ada jawapan ke kat siling tu?” sergah Ustadz Faisal sambil tersenyum.  “Kalau macam tu, saya nak tengok jugaklah.” Ustadz Faisal melawak.
“Ish ustadz nih” Nabilah dan Husna tertawa melihat gelagat Ustadz Faisal.
“OK, awak kata orang yang bercouple akan berjumpa, dating, itu dan ini.  Dalam ISLAM boleh ke lelaki dan perempuan berjumpa?” Ustadz Faisal meminta jawapan dari Nabilah dan Husna.
“Bolehlah ustadz.  Kalau tak boleh macam mana nak beli barang, nak belajar dan sebagainya.” Nabilah memberikan jawapannya dengan penuh yakin.
“Ha, begitulah.  Lelaki dan perempuan kalau mempunyai urusan atau hajat tertentu memang boleh berinteraksi dan bermuamalah seperti berjual-beli, belajar, bermesyuarat dan bekerja.  ISLAM membenarkan.  Tetapi, jika tiada sebab yang penting, ISLAM melarang lelaki dan perempuan bergaul bebas dan berjumpa.” Ustadz Faisal memberikan penerangan.
“Dalam al-Quran, ALLAH menyuruh lelaki dan perempuan yang muslim agar menundukkan pandangan.  Malah ada saranan untuk berinteraksi di sebalik tabir di antara lelaki dan perempuan bagi menjaga kesucian hati kedua-dua pihak.  Betapa ISLAM telah menggariskan hukumnya.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah………..” Tiba-tiba Ustadz Faisal diam dan tunduk.  Beliau menajamkan pendengaran beliau seperti ingin mendengar sesuatu.
“Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam……….” Beliau mengulang dan diam lagi.
Nabilah dan Husna tiba-tiba teringat dan serentak mengucapkan“sallAllahu ‘alaihi wasallam…”. Mereka tersipu-sipu.
Ustadz Faisal tersenyum lalu menyambung semula “Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah suatu ketika di dalam majlis ilmu, seorang perempuan datang bertanya sesuatu kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah menolak muka seorang lelaki yang merupakan sepupu Baginda yang ada di dalam majlis tersebut.  Apabila ditanya kenapa dibuat demikian,  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab bahawa lelaki dan perempuan tidak aman dari dipengaruhi Syaitan.” Ustadz Faisal memberikan penjelasan.
“Dalam ketika yang lain, seorang buta pernah datang berjumpa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dan menyuruh Aishah agar duduk di belakang tabir.  Aishah radhiAllahu ‘anha bertanya, “bukankah dia buta, mana dia nampak saya.”  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab, “ya, dia buta dan tak nampak engkau.  Tapi engkau boleh melihat dia.”  Nah, ISLAM telah meletakkan peraturan bahawa antara lelaki dan perempuan mesti ditundukkan pandangan dan tidak bebas bergaul di antara keduanya.  Sedangkan pandang sahaja pun ISLAM sudah mengawal, inikan pula lebih dari itu.” Sambung Ustadz Faisal lagi.
“Awak faham tak apa yang cuba saya sampaikan.” tanya Ustadz Faisal kepada Nabilah dan Husna untuk mendapatkan respon mereka berdua.
“Faham ustadz.” Serentak Nabilah dan Husna menjawab.
“Jadi, saya rasa awak dapat jawapannya kepada persoalan awak pasal couple ini.  Awak lihatlah orang-orang yang bercouple, apa mereka buat?  Mereka berjumpa, berbual-bual, bermesra, keluar sama-sama; sedangkan ISLAM tidak merestui hubungan lelaki dan perempuan yang belum bernikah berbuat itu semua.  Pendek kata, ia hanya akan meletakkan diri seorang muslim dalam keadaan berdosa dan kemurkaan ALLAH.  Malah boleh menjerumuskan diri ke dalam perzinaan.” Terang Ustadz Faisal.
“Oh ya ustadz, saya teringat ayat al-Quran kata, “la taqrabuzzina!”…”  Husna mencelah.
“Betul tu Husna, bagus.  ALLAH Subhanahu wata’ala kata jangan dekati zina.  Perbuatan-perbuatan seperti berdating, berjumpa, keluar sama-sama, itu semua adalah perbuatan-perbuatan yang boleh membawa kita semakin hampir dengan zina, na’udzu billahi min dzalik!” Ustadz Faisal mengiyakan apa yang diutarakan oleh Husna.
“Awak ingat tak hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam yang sebut pasal lelaki dan perempuan yang duduk berdua-duaan?  Saya pernah jelaskan dalam usrah umum sekolah kita” tanya Ustadz Faisal.
“Yang mana satu ek?” Husna memandang Nabilah.  Dan sekali lagi dia memandang siling mencari jawapannya.
Tiba-tiba Ustadz Faisal pandang siling, diikuti Nabilah.  Husna perasan gelagat beliau ditiru Ustadz Faisal dan Nabilah.  Husna senyum tersipu-sipu.
“Confirm takde jawapan kat siling tuh…hehe” Ustadz Faisal mencelah, bergurau.
Mereka bertiga tertawa.
“Oh saya ingat, ye…hadith pasal lelaki dan perempuan yang bersendirian akan ditemani oleh ‘orang’ ketiga, iaitu Syaitan.  Yang tu kan ustadz?” Nabilah bersuara meminta pengesahan jawapannya daripada ustadz Faisal.
“Bagus Nabilah.  2 markah untuk awak.” Ustadz Faisal tersenyum bangga sambil menyambung, “Syaitan ni takde kerja lain.  Kerjanya untuk menyesatkan manusia.  Jangan awak sangka Syaitan duduk di antara lelaki dan perempuan yang bersendirian tu tengok aje, senyum-senyum aje.  Tak!!!!  Dia akan mainkan peranannya supaya lelaki dan perempuan itu akan terjebak dengan zina, iaitu dosa besar yang dimurkai ALLAH.” Jelas Ustadz Faisal.
“Mungkin mula-mula ringan-ringan.  Pandang-pandang, sentuh-sentuh.  Kemudian pegang-pegang.  Apabila dah biasa, mulalah berzina.  Syaitan ni pandai, genius.  Dia dah ada pengalaman jutaan tahun.  Bagi dia kacang je nak bagi manusia ni terjebak dengan bunga-bunga zina dan zina itu sendiri.  Sejarah dah membuktikan.  Malah sekarang ni pun macam-macam gejala sosial berlaku.  Bohsia, bohjan, buang bayi, pelacuran.  Ini semua akibat kita pandang ringan hukum ALLAH.  Astaghfirullah…” sambung Ustadz Faisal lagi.
Nabilah dan Husna mendengar dengan khusyuk penjelasan Ustadz Faisal.
“Sebab itu kita disuruh jaga pandangan mata kita dan seluruh pancaindera kita.  Awak kalau nampak ayam goreng, awak rasa nak makan tak ayam goreng?” Tanya ustadz Faisal.
“Tentulah ustadz.  Bukan sahaja nampak, bau aje pun dah teringin.”Jawab Husna.
“Ha’ahlah.  Hish, ustadz ni sebut pasal ayam goreng, terasa pulak nak makan ayam goreng.” Sambung Nabilah pula.
“Hehe…tulah manusia.  Manusia ni kalau tak jaga pandangan dan pancaindera kita, kita tentu berkeinginan untuk memiliki sesuatu.  Kalau awak pandang lelaki, tentu awak rasa nak memiliki perhatian lelaki itu.  Macam lelaki, kalau dia nampak perempuan cantik, tentu dia nak jadikan dia sebagai awek.  Tapi, kalau dia tak nampak dan tak tengok, tentu dia tak teringin pun.  Fikiran kita pun jangan disibukkan dengan hal-hal couple ni.  Jangan asyik berbual pasal couple dengan kawan-kawan, gossip si anu dengan si anu, baca buku cinta…ini semua dapat membuatkan kita mempunyai keinginan untuk bercouple.” Ustadz Faisal memberikan penerangan.
Nabilah dan Husna mengangguk tanda setuju.
“SubhanALLAH, ALLAH tahu fitrah kita.  DIA yang ciptakan kita.  Dia suruh kita menundukkan pandangan ada sebabnya.  InsyaALLAH, jika awak ikut apa yang ALLAH suruh, awak akan selamat dari bahaya bercouple ini dan lain-lain bahaya…” jelas Ustadz Faisal.
“Malah, jika kita jauhi amalan couple ini, insyaALLAH gejala sosial seperti zina dan buang bayi akan menjadi sifar.  Masyarakat akan lebih sejahtera.  Nampak tak betapa besarnya implikasi couple ni.  Mungkin sebahagian masyarakat nampak kecil dan biasa-biasa sahaja, sedangkan ia boleh menatijahkan sesuatu yang buruk kepada masyarakat.” Sambung Ustadz Faisal dengan wajah yang serius.
“Ustadz, alhamdulillah saya rasa saya dah faham apa hukum bercouple ni.  InsyaALLAH ustadz, saya dan Husna akan cuba ingat nasihat ustadz ni.” Nabilah seakan dapat menyimpulkan perbincangan pada petang itu.
“Doakan kami ye ustadz supaya kami dapat jaga diri kami ye…” sambung Husna pula.
“InsyaALLAH Nabilah, Husna…saya doakan agar kalian dipelihara ALLAH.  Sebaik-baiknya kamu berdua kongsikanlah apa yang kita bincangkan ini dengan kawan-kawan yang lain.  Mudah-mudahan mereka semua akan faham apakah kedudukan bercouple ini di sisi ISLAM.” Ustadz Faisal merespon.
“Tapi ustadz, macam mana ye kalau kami remaja ni jatuh cinta?” Tiba-tiba nabilah bertanya lanjutan dari perbualan itu.
Belum sempat Ustadz Faisal membuka mulut, tiba-tiba Jannah datang memanggil Nabilah dan Husna dengan penuh tergesa-gesa.
“Bas datang, bas datang!  Cepat, cepat…!” jerit Jannah sambil memegang daun pintu, termengah-mengah.
“Ah ustadz, kami minta maaf!  Kami terpaksa minta diri dulu.  Nanti kami datang lagi jumpa ustadz tanya.  Terima kasih ustadz” Nabilah dan Husna tergesa-gesa memohon diri.
“Sama-sama.  Hah, cepat..nanti bas tinggal, susah pulak.  Takpe, esok kalau awak nak tanya lagi, datang je jumpa saya di bilik guru ni” Balas Ustadz Faisal.
“Assalamu’alaikum ustadz” Ucap Nabilah dan Husna.
“Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.” Jawab ustadz Faisal.
Shahmuzir Nordzahir
16 Oktober 2010
www.muzir.wordpress.com

Monday, February 6, 2012

Hukum merokok



Hukum Merokok Dalam Islam

Penulis: Fatwa al Lajnah ad Daimah li al Buhuts al ‘Ilmiyyah wa al If


SIKAP ISLAM TERHADAP ROKOK


Sesungguhnya Allah ta’ala mengutus Nabi Muhammad dengan petunjuk-Nya dan agama yang hak, untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya dan membersihkan serta mensucikan hati mereka dari kotoran kekufuran dan kefasikan dan membebaskan mereka dari belenggu penghambaan kepada selain Allah ta’ala.


Dia (Rasulullah Shalallahu 'alaihi wassalam) membersihkan manusia dari kesyirikan dan kehinaan kepada selain Allah dan memerintahkannya untuk beribadah hanya kepada Allah semata dengan merendahkan diri dan mencintai-Nya dan meminta serta memohon kepada-Nya dengan penuh harap dan takut.


Dia juga mensucikan manusia dari setiap kebusukan maksiat dan perbuatan dosa, maka dia melarang manusia atas setiap perbuatan keji dan buruk yang dapat merusak hati seorang hamba dan mematikan cahayanya dan agar menghiasinya dengan akhlak mulia dan budi perkerti luhur serta pergaulan yang baik untuk membentuk pribadi muslim yang sempurna. Maka dari itu dia menghalalkan setiap sesuatu yang baik dan mengharamkan setiap yang keji, baik makanan, minuman, pakaian, pernikahan dan lainnya.


Termasuk yang diharamkan karena dapat menghilangkan kesucian adalah merokok, karena berbahaya bagi fisik dan mengdatangkan bau yang tidak sedap, sedangkan Islam adalah (agama) yang baik, tidak memerintahkan kecuali yang baik. Seyogyanya bagi seorang muslim untuk menjadi orang yang baik, karena sesuatu yang baik hanya layak untuk orang yang baik, dan Allah ta’ala adalah Maha Baik tidak menerima kecuali yang baik.


Berikut akan kami kemukakan beberapa fatwa dari para ulama terkemuka tentang hukum rokok : “Merokok hukumnya haram, begitu juga memperdagangkannya. Karena didalamnya terdapat sesuatu yang membahayakan, telah diriwayatkan dalam sebuah hadits :
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ أخرجه الإمام أحمد في المسند ومالك في الموطأ وابن ماجة
“ Tidak (boleh melakukan/menggunakan sesuatu yang) berbahaya atau membahayakan” (Riwayat Ahmad dalam Musnadnya, Malik dan Atturmuzi)


Demikian juga (rokok diharamkan) karena termasuk sesuatu yang buruk (khabaits), sedangkan Allah ta’ala (ketika menerangkan sifat nabi-Nya Shalallahu 'alaihi wassalam) berfirman: “...dia menghalalkan bagi mereka yang baik dan mengharamkan yang buruk“ (Al A’raf : 157)


Panitia Tetap Lembaga Riset Ilmiah dan Fatwa Kerajaan Saudi Arabia.
Ketua: Abdul Aziz bin Baz
Wakil Ketua: Abdurrazzak Afifi.
Anggota: Abdullah bin Ghudayyan –
Abdullah bin Quud.


“Merokok diharamkan, begitu juga halnya dengan Syisyah, dalilnya adalah firman Allah ta’ala: “Jangan kalian bunuh diri kalian sendiri, sesungguhnya Allah maha penyayang terhadap diri kalian “ (An-Nisa : 29)


“ Jangan kalian lemparkan diri kalian dalam kehancuran” (Al-Baqarah : 195)

Dunia kedokteran telah membuktikan bahwa mengkonsumsi barang ini dapat membahayakan, jika membahayakan maka hukumnya haram. Dalil lainnya adalah firman Allah ta’ala:
(وَلاَ تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمْ الَّتِى جَعَلَ اللهُ لَكُمْ قِيَامًا ( النساء : 5

“ Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan..” (An Nisa:5)
Kita dilarang menyerahkan harta kita kepada mereka yang tidak sempurna akalnya karena pemborosan yang mereka lakukan. Tidak diragukan lagi bahwa mengeluarkan harta untuk membeli rokok atau syisyah merupakan pemborosan dan merusak bagi dirinya, maka berdasarkan ayat ini hal tersebut dilarang.

Sunnah Rasulullah Shalallahu 'alaihi wassalam juga menunjukkan pelarangan terhadap pengeluaran harta yang sia-sia, dan mengeluarkan harta untuk hal ini (rokok dan syisyah) termasuk menyia-nyiakan harta. Rasulullah e bersabda:
{ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ }

Syekh Muhammad bin Sholeh bin ‘Utsaimin
Anggota Lembaga Majlis Ulama Kerajaan Saudi Arabia


“Telah dikeluarkan sebuah fatwa dengan nomor: 1407, tanggal 9/11/1396H, dari Panitia Tetap Lembaga Riset Ilmiah dan Fatwa di Riyadh, sebagai berikut: “Tidak dihalalkan memperdagangkan rokok dan segala sesuatu yang diharamkam karena dia termasuk sesuatu yang buruk dan mendatangkan bahaya pada tubuh, rohani dan harta.

Jika seseorang hendak mengeluarkan hartanya untuk pergi haji atau menginfakkannya pada jalan kebaikan, maka dia harus berusaha membersihkan hartanya untuk dia keluarkan untuk beribadah haji atau diinfakkan kepada jalan kebaikan, berdasarkan umumnya firman Allah ta’ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمِ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ اْلأَرْضِ وَلاَ تَيَمَّمُوا الْخَبِيْثَ مِنْهُ تُنْفِقُوْنَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيْهِ إِلاَّ أَنْ تُغْمِضُوا فِيْهِ (ألبقرة:267
“ Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (dijalan Allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang kami keluarkan untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata darinya “ (Al Baqarah: 267)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wassalam bersabda: “ Sesungguhnya Allah Maha Baik, tidak akan menerima kecuali yang baik “ (al Hadits)
وبالله التوفيق وصلى الله على نبينا محمد وآله وصحبه وسلم

(Dinukil dari terjemahan عفواً ممنوع التدخين Maaf, dilarang MEROKOK oleh Thalal bin Sa'ad Al 'Utaibi)